Friday, March 2, 2012

CERPEN: Kerana Doa Tulusmu…

Kerana Doa Tulusmu…


“Enam tahun bukan satu tempoh yang sekejap, terlalu lama untuk sepasang kekasih mengenal hati budi atau mungkin sudahpun siap sedia untuk berumah tangga dan memikirkan masa depan”. 

Apakah tempoh yang panjang ini aku tidak sebetulnya mengenali hati budi dia atau mungkin  terlebih kenal sehinggakan sudahpun tawar hati untuk bersama. Patah, sambung dan retak itu telah dilalui berkali. Mungkin kerana itu aku sudah tawar hati. Tawar hati untuk meneruskan hubungan ini. Cepatlah hati aku membuat keputusan, aku sudah tidak tahan menyeksa hati dan perasaan sendiri. Aku buntu. Apakah aku orang yang tidak punya pendirian. Kenapa terlalu lemah dan gugup untuk memutuskannya. Aku takut untuk kecewakan tapi aku juga tak sanggup untuk memaksa hati ini mencintai orang yang salah. Apakah aku akan kecundang dipertengahan perhubungan yang belum tentu ada pengharapan. Terkadang aku merasakan penat yang amat sangat memikirkan hal ini, Aku lemas dalam ikatan yang tidak ku tahu kesudahannya.

“Mak, Wan ingat Wan nak sambung belajarlah mak. Wan nak berhenti kerja, Wan nak teruskan cita-cita Wan dari dulu untuk dapatkan segulung ijazah untuk mak abah dan untuk Wan juga. Mak setujukan kalau Wan sambung belajar?” Terkeluar juga hasrat pemuda itu kepada ibunya untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah yang telah lama dia impikan.

Mak hanya melemparkan senyuman memandang Wan, anak sulongnya daripada lima orang adik beradik atas hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Yusuff atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Usop oleh kebanyakan kenalan.

Kurang dua tahun Wan bekerja di salah sebuah syarikat swasta berdekatan dengan tempatnya selepas tamat pengajiannya dulu. Bermula dengan sijil sebagai permulaan dan meneruskan ke peringkat diploma, dan kini mula mengorak langkah dan memasang cita-cita untuk menyambung keperingkat yang lebih tinggi iaitu ijazah sarjana muda di salah sebuah universiti tempatan pilihannya.

“Kalau dah baik niatnya, ada cita-cita sebegitu, kenapa pula mak tak izinkan? Baguslah Wan ada hasrat untuk sambung belajar, kalau abah dengarpun mesti dia setuju.” Balas Zuraidah sambil memegang bahu anaknya itu.

Wan Taqiff tersenyum puas apabila mak dan ayahnya senang hati untuk membenarkannya sambung belajar semula walaupun dia tahu mungkin wang ringgit menjadi masalah utama. Dia bekerja selama ini untuk membantu adik beradiknya yang lain, sedikit sebanyak dapatlah meringankan beban kedua ibu bapanya. Ibunya Puan Zuraidah atau lebih dikenali dengan Mak Dah, merupakan suri rumah sepenuh masa, manakala ayahnya Pak Usop bekerja di sebuah firma kerajaan dan memperolehi gaji cukup-cukup makan untuk mereka anak beranak. Wan adalah tunggak utama keluarga mereka, anak sulung keluarga itu dan besar tangungjawabnya.

Berbekalkan sedikit simpanan itulah dia membelanjakannya untuk membeli sebuah kereta hasil dari titik peluhnya bekerja dan untuk simpanan menyambung belajar nanti. Duitpun tidak setebal mana, cukup untuk menyara hidup dan memudahkannya kemana-mana.  


“Salam Wan, sibuk? Teman Dira minum-minum dekat kedai petang ni, boleh?”

“Hmm..petang ni? Tak pasti lagilah. Nanti Wan mesej balik, ye?”

“Hmm. Tak payah lah macam tu. Tak apalah, lain kali sajalah. Orang tak sudi.”

“Tak sudi apanya? Kan Wan cakap, tak pasti lagi. Kalau free, Wan bagitahu semulalah.”

Telefon segera diletak, tiada lagi suara Dira di talian. Perbualan mereka terhenti disitu.

“Eh budak ni? Main letak je? Baik tak payah telefon aku. Cepat betul panasnya, sikit-sikit nak merajuk. Tak faham aku.” Sinis Wan sendirian memikirkan perangai bekas teman wanitanya itu.


Dira merupakan teman istimewanya suatu ketika dahulu. Perasaan sayang sebagai sepasang kekasih itu pernah ada. Ya, suatu masa dahulu. Sejak mereka berpisah tiga tahun lepas, Dira masih menghubunginya dan seperti terlalu mengharapkannya kembali. Hatinya telah lama tawar, pernah juga tidak dilayankan kerenah si Dira itu kerana anggapannnya hubungan mereka sudah berakhir tiga tahun lalu, tetapi atas alasan dan campur tangan orang ketiga dalam perhubungan, dia seperti tidak dapat lari daripada semua ini. 

Terkadang ada juga memikirkan untuk berbaik semula dan kembali seperti sediakala, tetapi disebabkan perangai Dira yang semakin tidak dapat difahaminya ditambah pula dengan campur tangan ibu Dira sendri yang sentiasa mahukan anaknya itu bahagia, membuatkan Wan buntu.

Genaplah tahun ini enam tahun usia perkenalan mereka. Pasang dan surutnya tetap ada, tetapi semakin hari perasaan sayang itu kembali surut dan seperti tiada bahagia dipengakhirannya. Sedangkan orang tua Dira mengharapkan anak perempuannya itu akan mengadakan hubungan yang lebih serius dengan Wan Taqif secepatnya. Andai adat membenarkan pihak perempuan melamar si perempuan, mahu sahaja dilamarnya Wan Taqif sesegera yang mungkin. Takut pemuda itu dikebas orang.

Isitmewa sangatkah Wan Taqif? Kenapa sebegitu besar harapannya untuk menjodohkan Wan Taqiff untuk anak tunggalnya itu? Mungkin Wan Taqiff adalah satu-satunya lelaki yang pernah masuk ke dalam hidup anaknya itu sejak dibangku sekolah lagi. Tempoh perkenalan sudah agak lama dan tiada lagi lelaki yang secocok untuk anaknya selain Wan Taqiff memandangkan Dira juga seorang yang tidak ramai kawan lelaki di tempat belajarnya. Hanya Wan yang dah lama dia kenal.

Ibu Dira dari dahulu terus-terusan menanyakan hal perkahwinan dengan Wan Taqif. Sedangkan hubungan mereka sudah lamapun terputus ditengah jalan. Tapi bagi Dira dan ibunya, hubungan Dira dan Wan masih belum  berakhir. Seboleh mungkin ibu Dira akan mendesak dan terus mendesak untuk Wan kembali rapat seperti dahulu dengan Dira, anak tunggalnya itu. Dira pula seperti tidak mengerti dengan perasaan, hakikat dan layanan Wan kepadanya. Masih menganggap Wan adalah teman lelakinya dan tidak berubah seperti enam tahun yang lepas.
Walhal Diralah punca utama hubungan mereka berakhir dulu. Akibat kekecewaan Wan terhadap Dira yang pernah memungkiri janji dan pernah melupakannya suatu ketika dahulu dek kerana mengejar cita-citanya dan membiarkan Wan Taqif terkapai sendirian memegang janji palsu Dira suatu masa dahulu. Juga atas alasan arahan orang tua Dira, Wan meredhakan hakikat walau hatinya penah remuk disakiti.

Setelah beberapa ketika, Dira cuba membetulkan hubungan dan dengan kelembutan hati dan sifat Wan Taqif yang muda memaafkan, mereka kembali berkawan dan sekaligus cuba melupakan kenangan-kenangan pahit yang lepas.

Mungkin pernah terfikir untuk berbaik dan kembali seperti sediakala dengan melupakan parut lama, tetapi memikirkan perangai Dira yang selalu tidak cuba untuk memahaminya dan juga atas desakan orang ketiga, Wan mula tawar hati. 

Dia juga dalam dilema untuk melukan hati seorang ibu tua itu yang sudah dianggapnya seperti orang tua sendiri. Wanita itu terlalu mengharapkannya untuk menjadi menantu keluarga itu dan setiap kali Dira dan Wan dilanda masalah, ibu Diralah yang menjadi orang tengah untuk memperbaiki hubungan mereka semula. Ini membuatkan Wan semakin lemas dengan semua ini. Ada saja yang tak kena pada anaknya, akan ditujukan salahnya kepada Wan.


“Wan, dengarlah kata hati….kenapa merindu pada yang tak pasti. Kenapa diteruskan pada yang sangsi. Berterus-teranglah, keluarkanlah semua rasa itu dan luahkan lah apa yang sebetulnya agar hati Wan tenang, bukan untuk disiksa dua jiwa itu jika diawalnya lagi sudah tahu kesudahannya. Wan, beranilah mengatakan yang sebenarnya. Jika harapan itu masih ada, teruskan lah. Tapi jika ianya sudah hilang, khabarkanlah dengan cara yang baik supaya semua pihak dapat memahaminya dan tiada lagi luka yang berpanjangan” khabar Ummi Tasnim kepada Wan Taqif. 

“Wan dilemma,Wan tak boleh sakitkan hati ibu Dira. Ibu dia dah lama mengharapkan Wan menjadi menantunya dari dulu lagi. Apakah kepercayaan itu harus Wan abaikan? Wan dah anggap ibu Dira seperti orang tua Wan sendiri walau ibunya….selalu sahaja mendesak dan menyalahkannya dalam banyak hal. Wan kesian, kalau suatu hari nanti bukan Wan jodoh untuk anaknya sedangkan ibu Dira terlalu berharapkan Wan untuk anaknya. Untuk mendirikan rumah tangga dengan anaknya.” Balas Wan. Terlihat kerutan di dahinya, tertekan saat mempersoalkan masalah ini yang telah lama disimpannya sendirian.

“Hehh…” Ummi Tasnim tersengih dengan jawapan yang diberikan oleh Wan sebentar tadi.

“Kenapa Ummi?” Tanya Wan Taqif.

“Maafkan Ummi, Wan.  Tapi adakah atas dasar kesian Wan teruskan hubungan ini? Atas dasar menjaga hati dan tak nak hati ibu Dira yang sudah Wan anggap seperti orang tua sendiri, Wan sanggup mematikan perasaan sendiri? Apa kata hati Wan, pernah Wan peduli?” soal Ummi tasnim yang merupakan teman terapatnya sejak diperingkat diploma.


Walaupun jarak mereka berdua itu jauh dan tidak pernah bersua muka lagi selepas tamat pengajian dulu, tetapi mereka sering berhubung di telefon dan melalui pesanan ringkas, tidak kurang juga rajin berchatting di internet. Mungkin Ummi Tasnim kawan yang selalu memahaminya dikala susah dan senang dan sentiasa mendengarnya tidak kira dalam masalah apa sekalipun. Dia boleh jadi terlalu mengambil berat, pengubat luka dan tekanan dikala Wan dilanda masalah. 

Dia gadis yang sangat memahami dan selalu menasihati Wan Taqif sejak dari dulu lagi tanpa jemu. Dia bersahaja dan tidak pula mengambil kesempatan kepada Wan seperti perempuan-perempuan lain yang mendekatinya dalam waktu yang singkat dan hanya bercakap soal cinta dan perasaan tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Tetapi dengan Ummi tasnim, mereka lebih santai dan tidak pernah bercakap soal hati dan perasaan masing-masing. Ummi sentiasa memberi tanpa meminta untuk dibalas, dan dia ikhlas…mungkin itu jawapan bagi pertanyaan kenapa dia selesa berkawan dengan Ummi setelah hampir tiga tahun.


“Entahlah…. Mungkin sebab ini Wan terikat untuk memiliki hati gadis lain. Mungkin ibu Dira akan membenci atau mungkin memberikan pandangan yang buruk dan menganggap Wan mahu mempermainkan anaknya sahaja jika Wan menjauhkan diri dan memutuskan yang sebenarnya” sambung Wan lagi.

“Dari Wan tidak berterus-terang sekarang, tidakkah itu seperti mempermainkan perasaan anaknya?  Berterus-terang sekarang adalah lebih baik daripada memberikan harapan yang tak pasti. Wan, Ummi Cuma nak ingatkan, biar kecewa sekarang bukan kecewa dikemudian hari, iaitu selepas bergelar suami isteri yang sah. Fikir-fikirkanlah apa yang terbaik untuk semua ya…” nasihat Ummi mengakhiri bicaranya dengan lembut dan jauh di dalam benaknya, dia sedih dengan keadaan sahabat baiknya itu tetapi tidak ditunjukkan kepada Wan Taqif.


Terima kasih Ummi Tasnim kerana selalu mendengar aku dan sentiasa ada untukku. Kenapa Dira yang telah aku kenal sepanjang enam tahun ini tidak seperti kau. Kenapa hatinya keras dan tinggi egonya. Kenapa bukan dia yang lebih memahami aku. Kenapa Ummi…kenapa bukan engkau yang aku kenal enam tahun yang lalu. Aku terasa seperti telah banyak membuang masaku dan memberi sepenuh hatiku kepada orang yang salah…..


Ya Allah, jika kau telah tetapkan Dira adalah jodohku hingga ke syurga, kau permudahkanlah urusan kami berdua. Kau dekatkan dan satukanlah hati kami agar tiada lagi kekeliruan yang timbul….dan jika dia memang ditakdirkan bukan jodohku, bukan tulang rusukku yang hilang, hilangkan lah gusar ini, berikanlah aku kekuatan untuk mengkhabarkan yang sebenarnya dan seandainya dua hati ini terpisah, bawalah kekecewaan ini pergi jauh dari sini dan gantikanlah ia dengan yang baru dan sebaiknya.. Wan Taqif bermonolog sendiri sebelum melelapkan mata di kamarnya.


Satu pesanan ringkas tertera nama ‘Dira’ diterimanya petang keesokannya.

“Dira dengar Wan nak sambung belajar, betul ke?” – Dira.

“Ya, Wan dapat sambung belajar di USM. Insya-Allah dua-tiga bulan lagi Wan akan mula mendaftar. Dirapun sudah hampir untuk mendapat segulung ijazah lebih kurang setahun lagi, kan? Wanpun tak naklah ketinggalan. Hee..” – Wan.

“Ouh, kenapa baru sekarang? Hurmm.” – Dira.

“Mungkin baru sekarang Wan diberikan rezeki untuk sambung. Kenapa Dira? Tak setuju ke kalau Wan sambung belajar?” – Wan.

“Dira ok je.. ibu Dira lah…” – Dira.

“Kenapa pula dengan ibu Dira? Ada masalah ke?” – Wan.

 “Sebolehnya ibu tak nak Wan sambung belajar. Ibu cakap, cukuplah diploma yang Wan ada sekarang. Wan dah ada kerja, dah ada pendapatan tetap, dah boleh beli kereta, dah boleh nampak masa depan dah. Ini tiba-tiba pilih nak sambung belajar, tu entah berapa tahun lagi la nak habis, 4 tahun? Hai alamatnya lambat lagilah Dira boleh naik pelamin. Hurmmmm.” – Dira.


Seperti keluhan yang panjang terungkap walaupun bukan dengan kata-kata, tetapi dapat dilihatnya dengan teks pesanan ringkasnya. Dira dan ibunya tidak setuju jika Wan mahu menyambung belajar kerana baginya proses perkahwinan mereka berdua pastinya akan menjadi semakin lambat dan lama!

Pendapatan Wan juga mesti sudah tidak sekukuh dahulu sewaktu dia ada pekerjaan. Ini, wang simpanan berkerjanya juga mesti akan disalurkan untuk membayar ansuran kereta dan akan dibelanjakan semasa sambung belajar.


“Ini cita-cita Wan, Dira. Mak dan abah Wanpun setuju dengan keputusan Wan ni. Soal kahwin rasanya masih terlalu awal untuk dibincangkan, terlalu mentah untuk Wan memegang amanah sebesar itu. Wan masih banyak tanggungan dan Wan belum fikir untuk berumah tangga seawal usia ini. Biarlah Allah saja yang tentukan bila dan dengan siapa jodoh tu.” –Wan.

Tanpa sedar, kata-kata Wan itu telah mengguriskan hati gadis itu. Seperti selalu, jika dia terasa hati, marah atau merajuk pastinya mesej itu diabaikan tanpa jawapan atau jika didalam talian, pasti akan terus diputuskan.


Dira… Dira.. Kenapa egomu terlalu tinggi.. Kenapa engkau tidak pernah cuba memahami hati ini… kenapa selalu aku saja yang terus-menerus mengalah dan menjaga hati kau sedangkan kau tidak pernah memperbaiki keadaan jika memang sebenarnya aku yang kau inginkan…..

Barangkali aku bukan pendengar terbaik untuk kau, setiap kali dilanda masalah, bukan aku yang kau cari untuk meluahkan… Tetapi menceritakan kepada ibumu, dan ibumu akan mengadili dan diakhirnya pasti akulah punca setiap salah, akulah penyebabnya…
Setiap kali engkau berubah perangai dan menggambarkan mood yang tidak baik di rumah, pasti aku dicarinya oleh ibumu dan akulah tempatnya untuk dipersalahkan, sedangkan engkau tidak pernahpun nampak kesalahan sendiri..

Entah sampai bila kesabaran aku ini akan terduga dan sampai bila aku mampu bertahan dengan keadaan ini…

Mungkin betul kata Ummi Tasnim. Aku ini pengecut, tak ada pendirian dan tak mampu membuat keputusan. Sebab itu aku terus dilukai. Kejamnya aku terhadap hati dan perasaan aku sendiri. Sampai bila…..




Dua tahun berlalu….

“Mak, Wan ada hal penting nak bincang dengan mak dan abah.” bicara Wan seusai selepas makan malam di hadapan Mak Dah dan Pak Usop.

Hari ini Wan ada dirumah kerana seperti biasa, setiap hujung minggu dia akan balik ke rumah jika tiada tugasan kuliah yang banyak.

“Hal apa tu Wan?” Tanya Pak Usop ingin tahu.

“Mak, abah, tolong pinangkan seseorang untuk Wan hujung minggu ni, boleh?”

“HAH?! Pinangkan sapa pula ni Wan?” balas Mak Dah terkejut dengan permintaan itu tetapi Pak Usop masih tenang dan menanti jawapan anak sulongnya itu.

“Mak, Wan dah fikir masak-masak dan Wan dah buat keputusan untuk menikah secepatnya. Mungkin hujung bulan ni, boleh ye mak? Nanti Wan tunjukkan cincinnya.”

Kotak cincin merah yang dikeluarkan dari poketnya dibuka dan ditunjukkan kepada Mak Dah dan Pak Usop. Cincin suasa halus yang bertatahkan sebutir permata itu dikeluarkan dari kotak itu dan diberikan kepada emaknya.

“Mak, tengoklah cincin ni…dah lama Wan beli dan simpan untuk bakal isteri Wan nanti.” 

“Bukan main awal, mak ingat kau tak pernah nak fikir soal kahwin. Tiba-tiba dah tunjukkan cincin kat kami dan minta dipinangkan. Siapa gadis tu Wan? Bertuah orangnya.” Jelas Mak Dah yang masih terkejut dengan keputusa anaknya itu.

Wan Taqif hanya menundukkan mukanya kebawah, merah mukanya apabila menahan malu ketika dilemparkan persoalan itu.

Percintaannya dengan Dira yang terlalu lama dahulu belum sekalipun diceritakan kepada kedua orang tuanya. Baginya, jika dia sudah serius dan yakin di dalam sesuatu hubungan, barulah dia akan memperkenalkan kepada keluarga dan mewar-warkan pilihan hatinya jika sudah sampai masanya untuk dijadikan isteri sahnya. 

“Wan, betul ke ini keputusan kau nak? Mana kau akan dapat duit untuk beri makan pada bakal isteri kau tu nanti? Bukan apa, kau kan masih belajar..” soal Pak Usop kepada anak lelakinya itu.

“Mak…abah, selama dua tahun ini Wan sudah memikirkan apa yang sepatutnya. Wan ingin sekali mempercepatkan urusan yang baik ini dan menghalalkan hubungan ini. Bukankah itu yang terbaik bagi remaja-remaja seperti Wan ni, mak abah. Wan dah fikir masak-masak. Kenapa perlu dilambatkan benda yang baik, dengan pernikahan, hubungan kami akan lebih terjamin, lebih diredhai. Tidaklah kami keluar berdua kehulu kehilir tanpa ikatan yang sah dengan pandangan yang serong, maruahpun terjaga, berkatpun dapat. Dia pendamping terbaik Wan, Wan tak nak kehilangan dia lagi. Soal duit, Wan ada biasiswa setiap bulan, rasanya itu cukup untuk perbelanjaan makan minum kami. Kalau tak cukuppun, Wan sanggup buat kerja part time untuk sara hidup kami. Wan dah 25 tahun mak, abah, izinkan Wan berdikari dan memegang tanggungjawab ni.”  Jelas Wan Taqif panjang lebar bagi meyakinkan kedua ibu bapanya itu. Lega rasanya dapat diluahkan dengan lancar segala hasratnya itu.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





MARI sini anak ibu, Ili sayang..” ajak Ummi Tasnim sambil memandang buah hatinya yang hampir menginjak usia dua tahun itu dan sudah mula pandai berjalan. Selepas tamat belajar, dia sempat bekerja selama setahun lebih di sebuah syarikat di ibu kota sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja  hasil persetujuan dia dan suaminya kerana mahu memberikan sepenuh penjagaan dan perhatian kepada anak sulungnya, Ili Khalidah Bt Wan Taqif, si permata hati Wan Taqif dan Ummi Tasnim, hasil perkongsian hidup mereka sejak 4 tahun lalu…
 
Rezeki Wan Taqif pula sentiasa murah sejak berkahwin dan apatah lagi setelah mempunyai cahaya mata, si comel bermata bulat dan berwajah seiras ketampanan Wan Taqif dan seredup Ummi Tasnim.

Selepas tamat belajar, dia menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat besar dan memperoleh rezeki yang tidak dijangka, dan kerana itu juga dia lebih senang jika Ummi Tasnim berhenti kerja sementara untuk membesarkan anaknya, sedangkan dia masih mampu memberikan nafkah zahir kepada dua intan payungnya itu.


“Abang, terima kasih sebab menerima Ummi dalam hidup abang….”

“Sayangku Ummi Tasnim, Abang gembira memperisterikan awak dan Ili Khalidah adalah hadiah terbaik dalam hidup abang. Terima kasih sebab sentiasa buat abang rasa tenang dan bahagia. Sentiasa ada disamping bila abang memerlukan… Mungkin ini berkat qanaah dan istiqamah abang yang meminta Allah menjodohkan abang dengan wanita yang paling ikhlas menerima abang…..”

“….Dan Abang jugalah pilihan utama Ummi yang tak mungkin Ummi cari peganti sejak hari pertama kita berkenalan. Tapi Ummi simpankan segala rasa itu, dan hanya Allah tempat Ummi meminta dan mengadu. Abang sentiasa ada dalam doa Ummi dari dulu hingga saat ini…. Ummi Bahagia, Ummi bersyukur Abang jodoh untuk Ummi….. Terima Kasih bang…” Sela Ummi Tasnim sambil berlinang air mata bahagia disamping lelaki yang disayanginya itu. Wan Taqif menseka air mata yang mula jatuh di pipi gebu isteri tercintanya itu sambil tersenyum bahagia penuh kesyukuran kepada Allah ya Rahman ya Rahim.


Indahnya perasaan yang hadir sekarang ini, amat sukar untuk digambarkan…. Terima Kasih Ya Allah.

No comments: