Saturday, December 8, 2012

Cubaan Pertama: Pertandingan Menulis Karya Motivasi @UPM


Oh, dugaan!
Oleh: Nur Hazirah Binti Mohd Johari

“Bila dah buat keputusan tu jangan pula menyesal. Saya selalu fikir, setiap jalan yang saya pilih sampai ke hari ini, dah disusun atur olehNya. Walaupun tak nampak sekarang, tapi Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita . So, chilllah…kita nak pergi menuntut ilmu lagipun. Mesti Allah permudahkan…yakinlah Allah bantu hambanya ini,” Satu senyuman manis dilemparkan pada jejaka yang sedang dalam keresahan itu. 
“Terima kasih. Terima kasih sebab selalu bagi saya semangat dan nasihat sampai ke hari ni. Saya akan cuba fikirkan balik walaupun hati ni masih berbelah bahagi untuk membuat keputusan,” balas Zehan dengan nada yang perlahan. Dahinya masih berkerut memikirkan keputusan yang akan dibuat untuk masa depannya.
Membuat pilihan untuk menyambung belajar disaat kita sudah selesa dengan bekerja di sebuah syarikat yang gah, bukannya mudah. Hampir setahun rasanya sudah terbiasa hidup di alam pekerjaan, duit gaji masuk setiap bulan. Tiba-tiba mahu sambung belajar, berhutang semula untuk membayar yuran pengajian, perlu member komitmen yang penuh sebagai seorang pelajar memandangkan kos ini tidak ditawarkan Pengajian Jarak Jauh (PJJ). Serabut memikirkannya…
“Saya yakin awak akan sambung belajar..” selamba gadis itu membuat kesimpulan.
“Kenapa awak cakap macam tu?” Zehan bingung. Matanya memandang terus ke arah mata Ummi Raudhah, gadis yang dua tahun lebih muda darinya tetapi berfikiran matang, dan kadangnya lebih matang daripadanya. Ummi Raudhah merupakan juniornya semasa belajar diperingkat diploma dahulu. Sudah lebih dua tahun mereka berkawan. Dia selesa meluahkan apa sahaja dengan gadis itu, kerana gadis itu selalunya lebih memahaminya. Namun, tiada ikatan yang istimewa antara mereka. Cuma sebagai sahabat baik.      
“Walaupun saya sedar ramai yang mengatakan, kalau dah bekerja, eloklah terus bekerja sebab bukan senang nak dapat peluang dan rezeki bekerja. Tapi tetap dengan pendirian dan pendapat saya rasa banyak baiknya sambung belajar daripada bekerja.  Orang sekarang dah ramai yang ada diploma awak.. Bayangkan kalau kita bekerja dengan hanya memegang segulung diploma sampai bila-bila, nanti bila ada orang baru atau graduan lain yang memohon kerja ditempat kita dengan kelulusan yang lebih tinggi, agak-agak kita ni orang pandang tak? Mungkin pandang kalau dah bekerja lama, tapi mungkin juga silap-silap kita kena tolak tepi. Takpun, kenalah kerja keras sikit berbanding mereka,” terang Ummi meyakinkan Zehan yang duduk dihadapannya.

Zehan diam seakan sedang memikirkan sesuatu. Ummi Raudhah meneruskan hujahnya.

“Kalau awak dah bekerja 2-3 tahun, dah pegang duit banyak, seronok ada gaji masuk tiap-tiap bulan…agak-agak awaklahkan, ada semangat nak sambung study lagi masa tu? Mungkin memerlukan semangat yang kuat untuk sambung belajar, tapi kalau dah malas, otak pun dah lama tak kena push, mesti kitapun dah rasa malas nak belajar,” tambah Ummi Raudhah lagi.
“Tak semua orang dapat peluang beharga ni, untuk sambung belajar lagi. Ramai yang kecewa bila tawaran mereka ditolak. Sekarang awak dah dapat, awak bertuah sebenarnya. Susah budak macam kita ni nak dapat masuk ke universiti, apalagi ke Universiti Putra Malaysia ni, satu universit yang gah namanya. Berlumba-lumba orang lain untuk masuk ke sini. Lagipun awakkan pernah cakap dengan saya dulu, awak memang minat nak sambung belajar kt situ. Rugi kalau awak tolak…” jelas gadis itu sambil memandang Zehan dengan penuh harapan semoga kata-katanya itu dapat member inspirasi kepadanya.

Zehan perhati satu-satu hujah yang disampaikan oleh Ummi Raudhah. Ada benarnya juga kata-kata gadis itu. Kenapa dia tak terfikir semua itu sebelum ini. Ternyata gadis ini selalu membuka fikirannya tatkala dia bingung memikirkan jawapan.

“Mak saya selalu cakap, selagi boleh sambung belajar muda-muda ni, baik sambung dulu. Nanti usia dah meningkat, dah cepat penat, nak fikir macam-macam komitmen lain lagi mungkin susah untuk dapat peluang macam ni lagi. Hal kerja tu…tak apa, percaya rezeki Allah tu kan luas, yang penting kita berusaha. Man jadda wa jadda!” tepat dan padat isi yang dilemparkan oleh Ummi Raudhah sebentar tadi.

Zehan tahu gadis itu juga menyimpan hasrat untuk belajar di universiti yang sama. Mahu sahaja diberikan peluang itu kepadanya. Universiti Putra Malaysia…semegah namamu disuara sanjungan.

“Alhamdulillah. Sekarang saya dah dapat kata putus setelah berminggu-minggu saya resah dan gelisah memikirkan hal ini. Terima kasih Ummi! Terima kasih sekali lagi! Tak tahu apa yang harus saya balas dengan jasa awak ni,” jelas Zehan dengan wajah yang gembira. Raut wajahnya tidak lagi gundah seperti tadi. Dahinya juga sudah tidak berkerut seperti ibu hilang anak. Hatinya mula tenang kerana sudah mampu membuat keputusan.

“Tak ada apapun yang saya buat. Saya cuma memberikan pendapat yang saya rasa sahaja,” balas Ummi Raudhah merendah diri. Puas jika kata-katanya tadi serba sedikit dapat membantu kawan baiknya itu dalam membuat keputusan.

“Saya tunggu awak di UPM…” tutur Zehan ringkas sambil melemparkan senyuman kepada Ummi Raudhah.

“Insya’Allah…” balas gadis itu perlahan dengan senyuman terukir dibibir manisnya.


*     *     *      *     *

“Susahnya…….kenapa susah sangat nak faham benda ni!! Argh!” keluh hati Zehan sewaktu membelek buku rujukan fizik dihadapannya itu. Sudah dua jam Zehan cuba menelaah sendiri di Perpustakaan Sultan Abdul Samad dan dia kelihatan sudah mula putus asa untuk cuba memahami formula-formula fizik itu.

“Patutlah ramai je budak-budak kelas yang masuk baru seminggu dua sudah buat keputusan untuk berhenti belajar. Tak tahan agaknya,” bisik hati Zehan seperti membuat kesimpulan sendiri. Dia akhirnya bingkas bangun dengan meminjam sebuah buku dari perpustakaan tersebut lalu keluar meninggalkan tempat itu. Niatnya untuk datang ke bilik sahabat baiknya malam ini untuk mengulangkaji bersama harap menjadi.

Ada dua jam lagi sebelum kelas Doktor Nik Syarha bermula, Zehan tidak melengahkan masa dengan singgah ke kafe berdekatan untuk makan tengahari. Selesai makan, dia menuju ke surau untuk solat zohor. Walau sesibuk mana sekalipun, solat 5 waktu tak pernah diabaikannya mahupun dilewat-lewatkan. Sungguh Zehan ada prinsip hidup. ‘Jika kita tidak lupa Allah, Allah tak akan lupakan hambanya. Allah yang utama dalam hidup kita. Ingat Allah dikala susah mahupun senang.’ Alhamdulillah. 

Jarum jam menunjukkan tepat pukul 5.40 petang. Zehan yang berbaju biru dan bserseluar slack hitam ditemani rakan baiknya, Yusuf dan Ikhwan sudah berada di depan blok untuk sama-sama beriadah petang itu. Selalunya jika tiada kelas pada waktu petang, inilah aktiviti harian yang mereka lakukan bersama.  Selepas penat belajar dan cara untuk menghilangkan tekanan disini, mereka akan pergi berjoging atau bermain bola sepak di padang berdekatan dengan Kolej Serumpun.

“Malam ni aku nak belajar fizik dengan kau, boleh?” soal Zehan memulakan bicara.
“Boleh. Datang saja ke bilik kami. Kalau aku boleh ajar, aku ajar,” balas Yusuf sambil membuat regangan di tepi padang. Memandangkan Yusuf satu-satunya rakan sekuliah yang dia rapat dan merasa selesa apabila menuntut ilmu daripadanya, maka dia tidak mensia-siakan peluang ini. Ikhwan pula hanyalah rakan sebilik Yusuf tetapi berbeza aliran dengan mereka. “Terima kasih banyak! Malam ni lepas isyak aku datang!” balas Zehan sambil tersenyum lega. Ada juga kawan yang dapat bantu mengajar subjek yang dia lemah ini. Kawan-kawan sekelas yang agak rapatnya dahulu kebanyakannya sudahpun menarik diri dan berhenti belajar kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Sebab itu dia harus kuat, dia tidak mahu menjadi salah seorang daripada mereka. Azam dan semangatnya masih kuat untuk terus bertahan di sini.

Lepas isyak tadi Zehan sudahpun menuntut serba sedikit ilmu dari kedua rakannya itu. Walaupun Yusuf sebenarnya muda beberapa tahun daripadanya dan berbeza latar belakang pendidikan, dia tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu. Lebih kurang jam 11.30 malam, Zehan kembali semula ke biliknya yang terletak tidak jauh dari bilik Yusuf. Cuma aras yang berbeza. Sampai sahaja di bilik, Zehan membelek kembali nota-notanya dan cuba untuk menghadam satu persatu apa yang telah dipelajarinya sebentar tadi bersama Yusuf. Setelah berpuas hati, dia mula merebahkan badannya ke katil. Ada seseorang dalam fikirannya tatkala ini. Dia terlelap penat.

Hari ini kelas kalkulus bermula pada jam 10 pagi, maka seawal 9.30 pagi Zehan sudahpun berada di perhentian bas dan menunggu bas seperti biasa. Langit tiba-tiba gelap dan hujan mula turun renyai-renyai. Cuaca pagi ini tidak seperti pagi-pagi yang lalu. Mendung tidak dapat diduga.  Bas pada pagi itu juga tidak banyak, sedangkan pelajar yang menunggu disitu sudah mula ramai dan bertambah ramai. Zehan semakin gusar. Takut kalau-kalau terlewat ke kelas kalkulus pagi ini. Selepas 30 minit menunggu barulah kelihatan sebiji bas berhenti di perhentian bas tersebut. Maka bertempiaranlah pelajar-pelajar berlari mendapatkan bas tersebut. Malangnya bas tersebut berhenti agak jauh dari tempat Zehan berdiri, ini menyebabkan harapan untuk menaiki bas tersebut agak tipis. Akhirnya, dia terlepas bas yang satu ini. Selang 20 minit, sebiji bas muncul lagi. Pelajar masih ramai. Kali ini, pelajar perempuan seperti biasa menguasai bas tersebut. Bilangan pelajar perempuan yang ramai dengan keadaan berasak-asakan membuatkan Zehan mengalah untuk berebut dengan mereka. Hujan semakin lebat. Kelas pastinya sudah bermula. Satu persatu bas dia terlepas dan tanpa dia sedar sudah hampir satu setengah jam kelasnya berlalu. Mahu saja dia menangis dan menjerit disitu. Tekanan teramat sangat dengan masalah bas dan paling sakit hati dia bukan sahaja terlewat masuk ke kelas, tetapi sudahpun terlepas kelas kalkulus pada pagi itu! Dugaan! Oh, dugaan!

“Berikanlah aku kesabaran dan pinjamkan aku kekuatanmu ya Allah!” sela Zehan dalam hati. Tak tahu perasaan apa yang hendak digambarkan lagi sekarang ini. Pagi-pagi lagi sudah diduga begini.  Hendak menumpang kawan-kawan yang ada kereta, dia sendiri masih baru disini dan tidak banyak kawan. Stress macam ni! Zehan cuba mengawal perasaannya.

Alang-alang sudah terlepas kelas, dia membuat keputusan untuk singgah ke Kafe Serumpun untuk makan tengahari. Perhentian bas dan kafe juga tidak jauh. Sekurang-kurangnya dapat juga menghilangkan tekanan. “Nak disesalkan apa lagi, kelaspun sudah berlalu. Baik isi perut dahulu, ada juga baiknya. Bas tiada, tapi makanan masih ada,” monolog Zehan sendiri sambil memujuk diri.

Hari ini Zehan tidak sempat beriadah bersama Yusuf dan Ikhwan seperti biasa kerana kelas Kenegaraannya habis pada jam 6 petang dan dia sampai ke bilik sekitar jam 7 malam selepas singgah ke kafe sebentar tadi.

Sampai sahaja di hadapan biliknya, seperti biasa dia membuka kasut dan menyusun kasut tersebut di rak yang dibelinya. Selepas membuka pintu, dia terbau sesuatu yang tidak menyenangkan. Dia sudah dapat mengagak bau itu datang dari mana. Pastinya dari jemuran kain basuhan milik rakan sebiliknya. Oleh kerana bau itu tidak menyenagkannya, dengan pantas dia mencapai Fabreez dan menyemburkan haruman itu di beberapa tempat di dalam biliknya. Lantas satu suara kedengaran.
“Hujan tadi…tak dapat nak jemur kat luar,” jelas Imran ringkas.
“Kalau tak hujanpun, kau tetap jemur dalam bilik juga. Macam aku tak kenal perangai kau ni walaupun baru beberapa minggu duduk sebilik,” balas Zehan sambil menarik muka tanda tidak selesa dengan perangai teman sebiliknya itu.
“Ala…relakslah..macam tak biasa…” balas Imran selamba. Hati kering.

Dilihatnya baju-baju yang tidak berbasuh dicampakkan di atas katil. Di lantainya pula stoking lelaki itu dibiarkan merata-rata. Kelihatan cawan yang digunakan dua hari lepas masih di atas meja dan tidak berbasuh. Haru-biru bilik mereka dengan kehadiran lelaki ini. Memang pengotor! Tak tahu jaga kebersihan! Itu sajalah kata-kata yang dapat digambarkan oleh Zehan. Tapi tidak pula terluah oleh kata-kata. Kadang-kadang Zehan yang akan membersihkan bilik itu sendiri. Zehan dan Imran merupakan dua makhluk yang berbeza personaliti dan perangainya. Zehan seorang yang sangat menjaga kebersihan dan sangat rapi orangnya. Dia tidak suka jika biliknya kotor dan tidak dijaga. Katilnya juga sentiasa kemas selepas bangun dari tidur. Berbeza sekali dengan rakan sebiliknya itu. Dugaan lagi!

Malam itu Yusuf datang ke biliknya untuk menyampaikan sesuatu. Katanya sejak minggu lepas lagi hendak diberitahunya, tetapi masih tertunda hinggalah ke hari ini.
“Minggu ni minggu terakhir aku di sini. Lepas ni kau kenalah cari cikgu baru untuk  mengajar kau, ya?” jelas Yusuf  tanpa mengambil masa yang lama sambil menepuk-nepuk bahu Zehan.
“Apa kau cakap ni? Kau nak pergi mana?” tanya Zehan ingin tahu lebih lanjut. Dia sedikit tersentak dengan kenyataan Yusuf sebentar tadi.
“Ala…tak jauh. Kau jangan risau. Aku masih di atas bumi Allah ni lagi. Cuma tempat saja yang dah berbeza,” balas Yusuf yang cuba memujuk Zehan dan cuba untuk menukar mood yang dari tadinya agak suram dan sunyi. Yusuf tersenyum memandang Zehan yang sudah berkerut dahinya. Resah-gelisah Zehan jadinya.
“Cerita betul-betullah…kau nak pergi mana ni sebenarnya?” Zehan tidak berputus asa mendapatkan jawapan dari Yusuf.
“Aku dapat tawaran sambung belajar di luar negara. Aku terima tawaran tersebut. Minggu depan aku dah kena berangkat ke sana. Kau jaga diri baik-baik nanti. Rajin-rajinlah berhubung dengan aku. Nak juga aku tahu perkembangan kau kat sini nanti,” terang Yusuf sambil diperhatikan Zehan dengan penuh kusyuk. Zehan terdiam seketika. Entah kata-kata apa yang harus dikeluarkan pada saat itu. Jika dia bersuara dan merayu sekalipun, bukannya Yusuf mahu membatalkan hasratnya. Sia-sia.
“Kenapa kau diam je ni? Suka eh aku nak pergi?” tanya Yusuf.
“Tak boleh ke kau belajar dekat sini je? Teman aku. Aku dahlah tak ramai kawan kat sini,”
Kesian pula dia mendengar luahan dari Zehan. Tetapi apakan daya, keputusan telahpun dibuat.
“Relakslah…laman sosialkan banyak, kalau kau rindu aku, Facebook  dan Skype pun boleh kita bertemu!” gurau Yusuf memeriahkan suasana. Dia hanya mahu memujuk Zehan yang dari awalnya sudah bermuram durja. Walaupun dia juga berasa sedih, tetapi dia sedaya upaya cuba menguatkan hatinya. Tak mahu kesedihannya dilihat oleh teman baiknya itu.
“Tak apalah…kalau itu pilihannya. Belajar rajin-rajin kat sana nanti! Semoga ada hikmahnya. Jangan lupa aku kat sini. Tak adalah lagi orang yang boleh aku lepak di biliknya tiap-tiap malam bila aku stress, orang yang boleh aku ajak beriadah petang-petang, dan tak adalah lagi guru fizik yang tak pernah penat melayan dan mengajar anak murid dia yang lembap ni,” luah Zehan sayu diiringi wajahnya yang hambar sejak dari tadi.
“Kau ni sengaja je nak buat aku rasa serba salah, kan? Janganlah cakap macam tu. Sedih aku dengarnya. Kalau ada rezeki, nanti kita jumpa lagi. Kau jangan risau, Ikhwan ada untuk teman kau ke padang petang-petang, kau ajak je dia. Fizik kau tu tak adalah teruk sangat. Kau kena banyak buat latihan dan banyak jumpa pensyarah je. Aku yakin kau boleh hidup dekat sini. Satu hari nanti aku nak tengok kau berjaya!” balas Yusuf cuba untuk menaikkan semangat Zehan yang hampir hilang. Yusuf satu-satunya kawan yang paling dia rapat sejak dia masuk ke sini. Kawan-kawan lain sudah ramai yang menarik diri dan ada yang mendapat tawaran belajar ke tempat lain. Tambah-tambah pula aliran mereka ini memang sangat kekurangan pelajar lelaki, kebanyakannya adalah pelajar perempuan. Yusuf sahaja kawan sekuliah yang paling memahami dia. Ketiadaan Yusuf di sini memang amat terasa!

Saat aku diduga, aku tahu aku semakin kuat.. Maka, tambahkan imanku, kuatkan semangatku, permudahkan susur jalanku dihadapan.. Allahurabbi.
 
Sudah seminggu Yusuf bertolak ke luar negara. Sunyi rasanya ketiadaan kawan sepertinya. Kawan harus dicari, tetapi masalahnya Zehan susah untuk mencari seseorang kawan yang boleh begitu rapat dengannya. Semuanya memerlukan masa. Dia cuba kuatkan semangat untuk terus berjuang di sini walaupun dengan ketiadaan Yusuf.

Malam esok kelas Doktor Mohammed Hassan akan mengadakan ujian bagi kelas prinsip pengurusan. Malam ini Zehan berniat untuk berjaga malam bagi mengulangkaji pelajaran memandangkan esok kelas bermula pada jam 10 pagi. Dua jam selepas mengulangkaji, sekitar jam 12 malam, teman sebiliknya, Imran sudah mula bersiap untuk masuk tidur. Zehan masih di depan meja belajarnya. Imran tiba-tiba bersuara.
“Aku nak tidur, tolong tutupkan lampu,”
Zehan perlahan-lahan bangun menuju ke suis yang terletak bersebelahan dengan pintu dan menutup lampu bilik. Kini, dia mengulangkaji hanya dengan menggunakan lampu belajar di mejanya sahaja.

Satu jam selepas Imran tidur, ternyata dia masih belum puas hati dengan keadaan bilik yang masih disinari cahaya lampu. Dia bangun lantas menyuruh Zehan untuk memadamkan lampu meja yang terletak bersebelahan dengan sebelah kanan katilnya. Kesilauan cahaya dari meja Zehan menyebabkan dia tidak dapat tidur dengan selesa.
Zehan mula rasa panas hati dengan permintaan Imran, tetapi cuba dikawal perasaannya dengan bertanyakan padanya elok-elok.
“Aku nak study ni, kenapa pula nak tutup lampu? Macam mana aku nak belajar dalam gelap?”
“Silau! Tutuplah lampu tu. Aku tak boleh tidur. Kau pergi tidur sajalah, tak payah study. Esok boleh study!” selamba Imran mengeluarkan kata-kata itu tanpa memikirkan perasaan Zehan. Sungguh dia tidak mempunyai perasaan. Tidak bertimbang rasa langsung! Kalau dia tak nak belajar, janganlah sampai menyeksa orang lain sebegini dengan tidak membenarkan Zehan membuka sebarang lampu. Sungguh diri ini teruji dengan mendapat teman sebilik sebegini rupa kejam!

Zehan cuba memujuk hatinya lagi. Dia mengikut sahaja kehendak Imran memandangkan hari sudahpun lewat malam dan dia tidak mahu bertelagah, terus dimatikan suis lampu mejanya. Kini dia bergelap bertemankan lampu dari telefon bimbitnya sahaja.
“Dahlah banyak lagi tajuk yang aku tak baca. Latihanpun tak buat lagi. Kalau aku sambung study esok, belum tentu sempat. Matilah macam ni. Apa harus aku buat?” getus hati Zehan sambil memikirkan cara agar dia boleh terus mengulangkaji.
“Nak pergi ke bilik Ikhwan, pastinya dia sudah tidur waktu-waktu ini,”
Zehan mendapat idea. Ini sahaja cara yang dapat difikirkannya pada saat ini. Dia terus mencapai beg galasnya dan mengeluarkan komputer ribanya. Dibuka komputer ribanya dengan cermat dan dengan berbekalkan cahaya lampu daripada komputer ribanya itu, dia meneruskan niat untuk mengulangkaji pelajaran. Sungguh perit yang ditelan ini, pasti akan ada kemanis dipengakhirannya. Dia percaya itu.
Hari ini hari minggu. Selepas solat subuh kebiasaannya dia akan pergi bersenam di kawasan rekreasi berdekatan. Selepas beriadah, barulah dia ke kafe untuk bersarapan kemudian dia hanya berehat di bilik sebelum memulakan kerja-kerja yang patut. Badannya direbahkan ke tilam yang empuk itu. Baru sebentar tadi dia menelefon ibunya untuk mendengar khabar dan berbual seperti biasa. Jika dia tidak telefon, pasti ibunya pula akan menelefon anak lelakinya itu.

Fikiran Zehan menerawang jauh, memikirkan hari-harinya di sini. Penat dan lelah yang diharunginya membuatkan dia tidak sedar bahawa sudah tiga bulan rupanya dia terus bertahan di sini. Kerja yang ditinggalkan sebelum masuk ke sini, mula dirinduinya. Adakah dia membuat keputusan yang betul untuk berada di sini? Satu nama sedang bermain difikirannya sekarang. Seorang kawan rapat yang paling memahaminya, tetapi hanya di alam maya yang menjadi penghubungya. Jarang sekali untuk bertemu memandangkan faktor lokasi yang agak jauh. Ummi Raudhah! Sekarang mereka agak jarang untuk berhubung memandangkan Zehan sudah mempunyai komitmen sebagai pelajar, penyesuaian di tempat baru dan masa yang singkat.

Dia tergerak hati untuk menelefon Ummi raudhah pagi itu. Selepas beberapa saat menunggu, panggilannya dijawab oleh seorang gadis.
“Assalamualaikum Ummi,”
“Waalaikumusalam. Ya, Zehan,”
“Sihat? Tengah buat apa? Saya mengganggu?” soal Zehan.
“Alhamdulillah sihat walafiat. Saya baru selesai kemas bilik ni, tak ganggupun. Awak sihat? Dah lama rasanya awak tak telefon saya, selalunya hanya mesej di telefon bimbit sahaja. Semuanya okay? Awak dah jumpa kawan rapat yang baru?” balas Ummi Raudhah. Walaupun jarang untuk menelefon, tetapi mereka tetap berhubung dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas mahupun berchatting di alam maya jika ada waktu kelapangan. Ummi Raudhah juga banyak tahu masalahnya dari awal kemasukkannya di sini sehinggalah sekarang. Zehan masih terdiam. Mungkin itu sahaja jawapan yang sesuai diberikan pada waktu ini.
“Ceritalah kalau ada masalah. Kenapa diam saja ni?” soal Ummi Raudhah prihatin.
“Belum dapat kawan yang betul-betul rapat lagi. Tak apa, nanti adalah tu. Saya sihat, Alhamdulillah. Everything gonna be okay when Allah with me,” balas Zehan untuk tidak memanjangkan cerita. Dia tahu Ummi tahu keadaan dan perasaannya sekarang. Biarlah gadis itu membuat kesimpulannya sendiri.

Ummi Raudhah tahu Zehan sedang mempunyai masalah. Melihatkan gelagatnya yang tidak peramah seperti biasa itu saja dia sudah dapat mengagaknya. Bagi Zehan, gadis itu tempat dia bercerita. Dia mengharapkan ada nasihat yang akan disampaikan oleh gadis itu seperti kebiasaannya.
“Saya tahu awak ada masalah. Masalah demi masalah satu persatu datang kepada awak, kan? Pernah dengar hadis riwayat Ibnu Majah? Dalam hadis tu ada menyebut, apabila Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia akan mengujinya. Jika hamba itu bersabar dan redha maka Dia akan memilihnya menjadi kekasihNya. Allah tahu awak kuat, sebab itu awak diuji. Bersabarlah! Berdoalah, semoga diberikan kekuatan. Allah mendengar doa hambanya. Awak kuat, kan?” 
“Kadang-kadang saya penat dengan semua ini. Kadang-kadang saya tak sekuat itu. Kadang-kadang saya terfikir untuk berputus asa,” luah Zehan perlahan.
“Awak dengar ni.. Ketika kita mengeluh : betapa beratnya dugaan ini dan tak sanggup menghadapinya.. Allah menjawab : Aku tidak membebani seseorang, melainkan sesuai kesanggupan. Ketika kita mengeluh : serabutnya semua ini.. Allah menjawab : Hanya dengan mengingatiku hati akan menajdi tenang, ”
“Betul. Terima kasih Ummi sebab menaikkan semangat saya kembali. Saya seharusnya sedar, saya sedang diuji. Dengan ujian dan kesakitan tersebutlah, dapat menguatkan saya lagi dimasa akan datang. Allah menguji untuk meliaht sejauh mana iman saya,”
“Alhamdulillah.. Pandaipun awak, Zehan!” balas Ummi raudhah ringkas. Dia gembira rakannya itu sudah mula bersemangat kembali. Dia tahu Zehan itu seorang yang kuat semangat. Sebelum masuk belajar juga dia telah ditimpa dengan banyak dugaan, tetapi dia bisa mengharunginya. Cuma dia perlu kerap disuntikkan semangat dari orang yang terdekat.

“Terima kasih ya Allah, kau kurniakan aku seorang sahabat yang selalu mengingatkan aku. Terima kasih juga atas segala nikmat dan ujian yang telah engkau berikan sehingga ke hari ini. Sesungguhnya aku bertawakal dan berserah diri kepadaMu. Tabahkanlah hati ini menjadi hamba yang kuat dan teguh imannya. Tak lemah apabila disakiti dan tak gentar bila diuji!”

Bila engkau letih dan hilang semangat, Allah tahu engkau telah mencuba sedaya upaya. Bila tangismu berpanjangan dan hatimu berduka, Allah telah mengira titis air matamu. Bila engkau rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu, Allah tetap bersamamu. Bila engkau kebuntuan akal, maka Allah adalah penunjuk jalan. Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.

1 comment:

Unknown said...

WOWW~!!! Panjang! em al maklumla kte tak baca novel. tengok mcm ni je dah rasa mcm...phewww..gilee panjang.....

ni pun belum baca lg, so tak boleh nak komen. hihi.

btw, keep writing and have a creative thinking Hazirah~ Go for it! Hwaiting~! :D